Khamis, 13 Oktober 2016

BILA AGAKNYA PRU KE 14 ?


HARI ini rata-rata rakyat dah mula bosan dengan percakapan politik. Buka televisyen dengar cerita pasai politik, buka akhbar juga banyak cerita politik, pergi kedai kopi juga sama rata-rata orang bercakap pasai politik malah buka FB juga begitu.

Percakapan politik oleh aktivis dan penyokong dan pendokong parti-parti politik membuat rakyat biasa yang berada atas pagar bosan. Masing-masing mempertahankan ideologi  dan tindakan pemimpin mereka sedangkan sebagai rakyat biasa yang rasional dapat memikirkan yang mana benar dan yang mana salah.

Penyokong dan pendokong politik UMNO/BN dengan cara dan gaya mereka biarpun mereka mungkin sedar kesalahan dan kesilapan pucuk pimpinan parti mereka. Mereka tetap menyokong dan tidak berani menyatakan kebenaran. 

Rata-rata rakyat yang melihat isu kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib  atas apa juga alasan adalah salah, namun kepimpinan dan penyokong parti berkenaan tetap mempertahankannya.

Perdana Menteri  Datuk Seri Najib sendiri akhirnya mengaku menerima wang sebanyak RM2.6 billion dalam akaun peribadinya dan katanya wang itu adalah derma Tok Arab untuk dana politik. Kita terima kenyataan itu benar, walaupun kenyataan itu benar  tetapi  memasukan wang derma untuk dana politik ke dalam akaun peribadi adalah salah di sudut akta pertubuhan. Kalau itu merupakan dana politik maka wang itu perlu di masukan ke dalam akaun UMNO atau BN bukannya akaun peribadi beliau.

Pihak Peguam Negara telah menyatakan pendirian tidak ada kes dan pihak  Pendaftar Pertubuhan membisu seribu bahasa. Jika ini pendirian Peguam  Negara dan Pendaftar Pertubuhan dan beranggapan tindakan itu tidak salah maka mana-mana ketua bahagian, ketua cawangan atau pengerusi mana-mana parti politik juga boleh mengutip derma dan dimasukan ke dalam akaun peribadi juga tidak salah. Bolehkah itu berlaku?

Bangkai gajah yang besar pasti  tidak dapat ditutup dengan nyiru yang kecil. Akhirnya isu yang cuba ditutup oleh Peguam Negara kita meletup di Amerika Syarikat melalui saman DOJ. Melalui saman itu mereka dapat mengesan salah laku Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang dinamakan sebagai MO1 dan rakan-rakan sekutunya termasuk anak tiri Datuk Seri Najib.


Maka muncul pula pembela Datuk Seri Najib mengatakan bahawa Amerika Syarikat berniat untuk menjatuhkan dan menjajah Kerajaan Malaysia. Nampaknya pembela-pembela Datuk Seri Najib seolah-olah cuba memperbodohkan rakyat negara ini. Pembela-pembela Datuk Seri Najib seolah-olah menidakkan kejayaan Kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO memberi pendidikan yang membolehkan rakyat negara ini berfikir  dan membuat penilaian mana betul dan mana yang salah.

Bagi penyokong dan pendokong PAKATAN HARAPAN  ada gaya dan cara tersendiri dalam menarik sokongan rakyat. Mereka akan pertikaikan apa saja yang dibuat oleh pihak kerajaan dan mereka yang menawarkan kerajaan alternatif  kepada rakyat namun sehingga hari ini tidak mampu bersatu dalam hakikat sebenar.

Diyakini dengan kemunculan parti baru tajaan Tun Dr. Mahathir yang diketuai oleh Tan Sri Mahyudin Yasin akan membuatkan parti-parti PAKATAN HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu  akan berebut kerusi. Walaupun ada perbalahan dalam perebutan kerusi namun dirasakan masalah ini tidak begitu kritikal jika dibandingkan dengan PAS.

Sementara bagi pendokong dan penyokong PAS pula asyik mengkafirkan sesama Islam, siapa yang tidak menyokong RUU adalah kafir. Mereka juga melemparkan tuduhan mereka tidak boleh bersama PAKATAN HARAPAN kerana DAP menentang Islam.  Mereka mendakwa sebagai parti Islam,  adakah cara politik yang mereka amalkan itu bersandarkan kepada cara berpolitik Islam?

Persoalan lain yang timbul adakah kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO benar-benar ikhlas? Kini hanya pembacaan pertama di Parlimen dan belum sampai tahap usul untuk diperbahaskan dan dibuat undi untuk terima atau tidak usul itu. PAS tak perlu mengkafirkan orang jika benar UMNO ikhlas usul itu pasti lulus kerana jika ahli parlimen UMNO dan PAS saja sudah memadai untuk memang.

Kita lihat PAS begitu ghairah dengan musuh tradisi politik mereka, UMNO. Mereka lupa inilah senjata paling ampuh untuk pisahkan PAS daripada gabungan pembangkang yang berkemungkinan mampu mengugat kekuasaan mereka selama ini. Hakikatnya bukan mudah untuk Ahli Parlimen UMNO menyokong usul ini, parti-parti komponen BN sendiri telah menunjukkan sikap penentang. Mana mungkin UMNO akan ketepikan rakan-rakan mereka dalam parti komponen BN? Ramai pemerhati politik berpendapat PAS hanya menjadi bahan permainan UMNO untuk terus berkuasa.

Lantaran itu rakyat yang berada di atas pagar mula bosan, muak  dengan pembicaraan politik. Mereka ingin pilihanraya dapat diadakan secepat mungkin. Mereka ingin menzahirkan sokongan mereka melalui kertas undi. Mereka juga menyimpan harapan apabila keputusan telah dibuat cakap-cakap politik akan mula berkurangan. Jadi persoalannya bilakah pilihanraya umum ini akan di adakan?

Berdasarkan perkembangan semasa diyakini Datuk Seri Najib akan mengadakan PRU 14 pada bulan Mac atau April tahun depan. Parti-parti politik komponen BN  telah diarahkan menyiapkan senarai calon. Pengesahannya kita lihat pada pembentangan budget negara yang akan dibentangkan pada 21 Oktober ini. Kita tunggu dan lihat selepas itu pastinya akhbar akan mainkan ini merupakan  budget rakyat.


Datuk Seri Najib tidak boleh tunggu lebih lama lagi. Ketika ini pakatan pembangkang dilihat tidak bersatu dan masih bertelagah sesama mereka, manakala PAS membawa haluan sendiri pastinya akan mengundang pertembungan tiga penjuru. Jika berlaku pertandingan 3 penjuru ini akan memberikan kelebihan kepada BN khususnya UMNO.  Perkara ini telah dibuktikan dalam pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.



KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI

KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI

KLIK IMAGE UNTUK KE BLOG INI







Tiada ulasan:

Catat Ulasan